Saturday, May 9, 2009

Drama tiada hujung di Perak

Oleh Che Hussain Kamaruzaman
chekamaruzaman@gmail.com

Selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) penuh drama, Perak kini pentas drama tidak berpenghujung apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) terus dihantui strategi misteri pembangkang.

Kejayaan menyingkirkan bekas speaker V. Sivakumar kelmarin juga hanya berhasil selepas enam jam kekecohan dan jalan buntu.

Jika tiada campurtangan polis dari luar dewan yang mulia, sudah tentu Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN pulang dengan tangan kosong dan berputih mata.

Strategi BN Rabu lalu dilihat sebagai tindakan terakhir yang 'terdesak' apabila bekas Speaker Sivakumar dilihat begitu fasih dengan peraturan mesyuarat dan menggunakan kuasa beliau sebaiknya sebagai benteng terakhir Pakatan Rakyat di negeri itu.

Walaupun berjaya menaikkan speaker baru R. Ganesan, debaran BN pastinya terus dirasai apabila keputusan mahkamah Isnin ini belum tentu menyebelahi mereka.

BN kali ini tentunya tidak dapat membawa masuk puluhan polis ke dalam kamar seperti yang dilakukan dalam DUN Perak sebelum ini.

Maka, bermain di padang yang rata, sudah tentu dua pasukan yang hampir seimbang daripada jumlah ADUN akan berentap hebat.

Politik jatuh-menjatuh

Selepas rombakan besar pucuk kepimpinan Umno di negeri-negeri, BN juga tidak lagi mempunyai godfather besar apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini melepaskan Perak dan mengetuai Badan Perhubungan Negeri Selangor.

Semua ini menjadi faktor ketidakstabilan kuasa BN di Perak.

Selain itu, jika keputusan menyebelahi bekas Menteri Besar Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin Isnin ini, pastinya R Ganesan akan juga diseret keluar seperti Sivakumar -- idea yang datangnya daripada mereka sendiri.

BN menjatuhkan Pakatan di Perak dengan idea lompat parti Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang 16 September tahun lalu. Tetapi kini, Pakatan juga mempunyai kekuatan menjatuhkan mereka kembali dengan idea persidangan 7 Mei lalu.

Politik jatuh-menjatuh akan berterusan di negeri itu sehinggalah berlaku pilihanraya di kesemua DUN, sama ada melalui pilihanraya umum ke-13 atau apabila Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah membubarkan DUN.

Dengan kesemua kemungkinan, BN juga nanti mungkin terpaksa bersidang di bawah "Pokok Demokrasi".

Namun malangnya, pokok itu kini hampir mati. Batang, dahan dan daunnya mulai mengering. Mungkin disebabkan kamarau, mungkin disebabkan perkara lain. - Politik Abu-Abu

No comments:

Post a Comment